Bank Dunia: Ekonomi Malaysia adalah ‘kisah kejayaan’ walaupun hutang RM1 trilion

Paling penting kerajaan baru perlu memastikan hutang ditangani dengan telus, waspada serta berhati-hati selain melaksanakan pengurusan berhemat. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR: Bank Dunia masih melihat Malaysia sebagai “kisah kejayaan” walaupun hutang negara mencecah RM1 trilion, kata Pengarah Negara bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Dr Mara Warwick.

“Kami melihat Malaysia mempunyai ekonomi kukuh dan bergerak ke arah pendapatan tinggi.

“Apa yang kami tekankan dalam laporan ini (Laporan Ekonomi Malaysia) ialah pentingnya melihat kepada kualiti pertumbuhan, keterangkuman pertumbuhan ke hadapan dan bagaimana setiap rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kejayaan ekonomi yang dicapai,” katanya selepas melancarkan laporan itu, hari ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Dr Richard Record berkata paling penting ialah kerajaan baru perlu memastikan hutang ditangani dengan telus, waspada serta berhati-hati selain melaksanakan pengurusan berhemat.

Beliau berkata sebahagian besar hutang itu, iaitu sebanyak 97.7% dalam denominasi ringgit, wajar menyediakan risiko terhad kepada kerajaan dari segi pendedahan kepada tukaran asing.

Beliau juga berkata hampir 70% hutang itu merupakan hutang jangka sederhana dengan tempoh matang melepasi 3 tahun, dan “menyediakan risiko terhad dari segi terma pulang ganti”.

Laporan Ekonomi Malaysia Bank Dunia mengunjurkan ekonomi negara berkembang pada kadar 5.4% tahun ini, disokong oleh pertumbuhan lebih kukuh dalam penggunaan isi rumah.

Prospek jangka pendek lebih kukuh dalam perbelanjaan isi rumah mencerminkan dorongan tambahan daripada langkah dasar baru kerajaan, termasuk penggantungan sementara cukai penggunaan (GST).

Bagi memastikan kelestarian fiskal jangka panjang dalam suasana fiskal baru, laporan itu menekankan perlunya perubahan struktur lebih mendalam untuk mempelbagaikan sumber pendapatan fiskal, merasionalkan perbelanjaan operasi tidak penting, menyusun semula beberapa projek infrastruktur berskala besar dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

Bank Dunia menggalakkan kerajaan mengekalkan sasaran defisit fiskal sebanyak 2.8% tahun ini.