DUN N9 lantik Speaker, timbalan, angkat sumpah Adun

Zulkefly adalah satu-satunya nama dicadangkan Aminuddin dan disokong Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri Teoh Kok Seong.

SEREMBAN: Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Persidangan (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Majlis pelantikan disempurnakan Menteri Besar Aminuddin Harun.

Pada persidangan itu juga, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung M Ravi yang dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN bersama 36 Adun, turut mengangkat sumpah jawatan.

Zulkefly, 54, adalah satu-satunya nama yang dicadangkan Aminuddin untuk jawatan itu dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri yang juga Adun Bahau Teoh Kok Seong.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Sains daripada Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Komunikasi.

Zulkefly mengangkat sumpah kira-kira 10.13 pagi tadi diikuti Aminuddin yang juga Adun Sikamat dan semua Adun lain.

Pada sidang DUN penggal terdahulu, jawatan Speaker disandang Datuk Dr Awaludin Said manakala jawatan Timbalan Speaker DUN baru diwujudkan pada penggal ini.

Pada Persidangan (Khas) hari ini, Barisan Nasional buat pertama kalinya bertindak sebagai pembangkang selepas Pakatan Harapan memperoleh 20 kerusi DUN berbanding BN, 16 kerusi pada pilihan raya umum ke-14, Mei lepas.