GBS: Kehadiran pembangkang Sabah tak jejas kes mahkamah

Gabungan Bersatu Sabah berkata wakil rakyatnya hanya mematuhi arahan speaker.

KOTA KINABALU: Kehadiran wakil rakyat pembangkang di sidang Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini tidak menjejaskan kes mahkamah untuk menentukan kesahan ketua menteri.

Datuk Hajiji Md Noor dan Datuk Jeffrey Kitingan dalam satu kenyatan bersama bagi pihak Gabungan Bersatu Sabah (GBS) berkata tiada isu daripada mematuhi arahan speaker yang mahu angkat sumpah para wakil rakyat pembangkang dibuat semula.

“Kami dinasihatkan bahawa mematuhi arahan speaker tidak menjejasan prosiding mahkamah yang sedang berjalan, iaitu berkaitan krisis perlembagaan akibat angkat sumpah ketua menteri kedua.

“Kehadiran kami bagi menghormati speaker mengikut doktrin pemisahan kuasa dan menegakkan kedaulatan undang-undang, demi kepentingan rakyat terutama di kawasan kami,” kata Adun Sulaman, Hajiji dan Adun Tambunan, Jeffrey.

Mereka berkata selaku wakil rakyat, mereka perlu memenuhi tanggungjawab masing-masing dan memastikan kepentingan mereka terjaga seperti dalam perlembagaan negeri.

“Terutama terhadap sebarang tindakan tidak dijangka oleh sebuah kerajaan tidak sah yang mahu merampas kuasa dan mengetepikan kedaulan undang-undang.”

Mereka berkata speaker ialah ketua dewan perundangan mengikut doktrin pemisahan kuasa.

“Kami, selaku wakil rakyat yang bertanggungjawab akan sentiasa menghormati speaker dan mematuhi arahannya sepertimana kami mematuhi arahannya tentang angkat sumpah pertama pada 12 Jun.”

“Kami tidak akan dimanipulasikan oleh orang dan tangan-tangan tersembunyi dengan motif terselindung yang seolah-olah mahu kami mengaibkan speaker dan melanggar kedaulatan undang-undang atau melanggar perlembagaan Sabah,” kata kenyataan itu.

Hajiji dan Jeffrey memberi jaminan GBS akan melindungi dan menegakkan hak Sabah dan kepentingan rakyatnya.