Hutang negeri RM3 bilion bukan sebab berjoli, kata Adnan Yaakob

Adnan yang menjadi menteri besar selama 19 tahun sejak 1999 mengakui ‘terkilan dan dukacita’ dengan pandangan mereka yang tidak memahami isu hutang negeri.

KUANTAN: Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini menjelaskan hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan sebanyak RM3 bilion bukan disebabkan ketidakcekapan mengurus atau akibat berjoli.

Beliau berkata jumlah hutang itu dihimpunkan daripada pentadbiran menteri besar terdahulu dan tidak mudah untuk dijelaskan kerana kerajaan negeri mempunyai hasil yang terhad.

Adnan yang menjawat jawatan menteri besar selama 19 tahun sejak tahun 1999 mengakui “terkilan dan dukacita” dengan pandangan mereka yang tidak memahami isu hutang negeri kerana jumlah yang besar dibelanjakan adalah untuk kebajikan rakyat.

“Hutang banyak berpunca daripada air dan (pembinaan) rumah kos rendah yang ditambah apabila ramai tidak membayar hutang rumah berkenaan.

“Panjang paip di Pahang ini ada 14,000 kilometer, kira kita boleh pergi ke London dari Kuantan dan ditambah pula bila kita kena ambil alih 82 rumah pam di kawasan Felda.

“Harap semua faham kenapa hutang kita jumlahnya tinggi. Ia bukan sebab kita berjoli,” katanya semasa mencelah ucapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad pada persidangan pertama bagi penggal pertama DUN Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Adnan yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang (Adun) Pelangai berkata beliau “terpaksa menggunakan sidang DUN sebagai platform untuk menjelaskan isu itu” kerana beliau sedaya upaya melakukan tugasnya dengan baik sebelum ini.

Beliau berharap penjelasan itu membolehkan semua pihak memahami rasional di sebalik jumlahnya dan sedar perkara itu bukan mudah untuk diatasi, mahupun oleh mereka yang pakar dalam ekonomi.

“Kalau bayaran air misalnya daripada RM1 yang dibayar pengguna, 50 sen adalah subsidi kerajaan. Kalau kita naikkan (tarif) sehingga 100% pun tidak jadi apa… nak untung kena naik sehingga 300%.

“Tapi kita tidak fikir tentang soal untung kerana kita lebih mengutamakan rakyat,” katanya.

Beliau seterusnya “agak geram” apabila diberitahu kos penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 pada tahun 2012 perlu ditanggung kerajaan negeri selain dimaklumkan hutang RM40 juta akibat banjir oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah.

“Banjir ini bencana alam. Sebab itu hutang kita tinggi. Kita pernah berbincang dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju untuk melupuskan 60% daripada jumlah itu, tapi tak sempat kerana beliau dipecat,” katanya.

Sementara itu, Ishak dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Adnan atas sumbangan dan pandangan dilontarkan beliau sejak mula memasuki sidang DUN Pahang pada tahun 1986.

Katanya, Adnan memberikan perkhidmatan cemerlang dan membawa Pahang ke arah lebih baik termasuk dalam isu kebajikan rakyat, memperkasakan ekonomi dan pendidikan dalam perkhdimatannya sebagai menteri besar Pahang paling lama.

“Jasa ini akan terus diingati dan menjadi kenangan dan saya mengharapkan Adun Pelangai akan terus memberi idea yang bernas dan pandangan yang baik untuk kerajaan negeri Pahang,” katanya.