Kamilah kerajaan yang sah, kata Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal terus mempertahankan dirinya sebagai ketua menteri yang sah dan kerajaan negeri pimpinannya adalah pentadbiran yang mengikut undang-undang.

Katanya, terpulang kepada wakil rakyat bukan gabungan Warisan-Pakatan Harapan-Upko, sama ada mahu mengiktirafnya sebagai ketua menteri.

“Saya tidak boleh memaksa mereka untuk berbuat demikian. Saya tahu, saya adalah ketua menteri yang mengikut undang-undang kerana setiap orang kelihatan mengiktiraf kami.

“Perkara penting ialah kami mengikut kedaulatan undang-undang. Walaupun mereka sekarang mengambil tindakan terhadap kami, kami tahu kami mengikut peraturan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pertama hari ini.

Shafie berkata, perlu ada pemisahan kuasa yang jelas antara kehakiman dan badan perundangan.

“DUN adalah badan perundangan yang tertinggi di negeri, meluluskan enakmen untuk negeri dan mahkamah pula adalah badan yang melaksanakan undang-undang,” katanya.

Adun Senallang ini berkata, wakil rakyat pembangkang juga dinasihat supaya mengangkat sumpah awal pagi ini kerana berbuat demikian di pejabat speaker pada 12 Jun lalu dianggap tidak betul.

Katanya, walaupun bukan tidak sah, sebarang upacara mengangkat sumpah oleh wakil rakyat yang dipilih mesti mengikut peraturan yang dinyatakan oleh perintah tetap, iaitu mesti dilakukan di hadapan cokmar rasmi ketua negeri.

Beliau mengulas nasihat pejabat speaker kepada wakil rakyat pembangkang supaya mengangkat semula sumpah mengikut peraturan konvensional, dan berkata kegagalan berbuat demikian akan memberikan contoh yang tidak baik.

“Kita tidak mahu selepas pilihan raya lain, sesiapa pun boleh pergi ke pejabat speaker dan mengangkat sumpah tanpa mendapat perkenan ketua negeri,” katanya.

Wakil rakyat gabungan kerajaan mengangkat sumpah pada persidangan DUN khas 11 Jun lalu yang menyaksikan Shafie mendapat sokongan majoriti 39 daripada 60 wakil rakyat.

Mengulas sidang yang dijadualkan esok, Shafie berharap wakil rakyat pembangkang akan menjalankan tugas dan mewakili pengundi masing-masing.

“Saya telah menghadiri banyak persidangan Parlimen. Tiada sesuatu yang baru. Mereka mempunyai hak untuk datang, tiada siapa yang boleh menghalang mereka dan mereka juga boleh bertanyakan banyak soalan yang dibenarkan oleh speaker, terutama ketika sesi bertanyakan soalan kepada ketua menteri,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin pembangkang Datuk Jeffrey Kitingan berkata, kehadiran wakil rakyat pada persidangan pertama tidak bermakna mereka menerima kesahihan kerajaan negeri.

Hanya bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman, yang mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga, belum mengangkat sumpah.

Beliau mempunyai tempoh hingga 9 Ogos ini untuk mengangkat sumpah. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkannya kehilangan kerusi itu. Jika ini berlaku, pilihan raya kecil akan diadakan.

Sidang DUN Sabah pertama akan berlangsung selama 3 hari bermula esok.