Mukhriz mahu kaedah saksama agih hasil cukai negara

Mukhriz berkata negeri miskin terpaksa berhutang dengan kerajaan Persekutuan menyebabkan ia dibelenggu hutang yang tidak membantu pembangunan negeri. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan mencari kaedah baru dalam mengagihkan hasil kutipan cukai negara secara saksama kepada semua negeri, terutama negeri yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata mengikut sistem federalisme, kerajaan Persekutan mengutip cukai daripada pelbagai sumber di seluruh negara sebelum cukai tersebut dikongsi dengan semua negeri yang ada.

“Kedah negeri tercorot dari segi hasil pendapatan dan kita tiada minyak atau gas jadi tak dapat royalti. Apa yang ada hanya hutan tetapi itu pun orang tak bagi buat pembalakan dan kita faham dan hendak uruskan sumber asli negeri secara lestari.

“Sebab itu, saya ingin cadangkan supaya kerajaan Persekutuan agihkan dengan saksama hasil kutipan cukai untuk manfaat bersama terutamanya kepada negeri berpendapatan rendah seperti Kedah.

Kalau cara dahulu, nak kena merayu dan minta ihsan kerajaan Persekutuan,” katanya semalam.

Mukhriz berkata disebabkan itu negeri miskin terpaksa berhutang dengan kerajaan Persekutuan dan menyebabkan ia dibelenggu hutang yang tidak dapat membantu pembangunan negeri.

“Kita minta supaya ada kaedah baru untuk pastikan hubungan kewangan daripada kedua-dua pihak (kerajaan Persekutuan dan negeri) dapat dipertimbangkan semula,” katanya.

Terdahulu, Mukhriz menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun di pejabatnya di Wisma Darul Aman.