PAS ‘tak kisah’ jika Khairy calon ketua pembangkang

PETALING JAYA: PAS tidak kisah sekiranya Umno mencalonkan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menjadi ketua pembangkang untuk sidang Dewan Rakyat akan datang.

Ini kerana PAS hanya mempunyai 18 kerusi Parlimen sahaja, kata Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kalau kita sokong ke tak sokong tak ada kesan kepada pencalonan,” katanya.

Semalam, Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya akan berbincang dengan PAS dan wakil rakyat lain mengenai pemilihan ketua pembangkang.

Zahid berkata perbincangan itu tidak akan melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tuan Ibrahim berkata kepimpinan PAS akan membincangkan sama ada akan menyokong atau tidak calon ketua pembangkang daripada Umno.

Tuan Ibrahim berkata dari segi tradisi, calon ketua pembangkang akan dipilih oleh parti pembangkang dengan jumlah kerusi Parlimen terbanyak.

Umno mempunyai 54 kerusi di Parlimen, jumlah terbesar yang dimiliki sesebuah parti.

Beliau menambah sama ada PAS akan menyokong atau tidak calon Umno itu akan ditentukan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita tengok macam mana perbincangan yang dicadangkan dengan pihak kepimpinan parti,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata PAS belum memutuskan sama ada partinya akan mencalonkan wakil rakyatnya sebagai ketua pembangkang.

Zahid: Umno, PAS bincang siapa jadi ketua pembangkang