Pasukan petugas khas 1MDB beku 408 akaun bernilai RM1.1 bilion

Pasukan petugas khas 1MDB tidak menolak kemungkinan akan ada lagi akaun yang bakal dibekukan selepas ini. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Pasukan Petugas 1MDB membekukan sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion daripada akaun milik individu, parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) pada 26 dan 29 Jun 2018.

Dalam kenyataannya, pasukan itu berkata akaun yang dibekukan membabitkan 81 individu dan 55 syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

“Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015.

“Pasukan Petugas Khas 1MDB kini menjalankan siasatan bagi mengenalpasti tahap pembabitan pihak terbabit. Siasatan dijalankan secara menyeluruh dan adil kepada semua pihak yang terbabit,” katanya.

Pasukan petugas khas 1MDB juga berharap semua pihak yang terlibat dapat memberi kerjasama dengan pihaknya.

“Pasukan petugas khas 1MDB juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi akaun yang bakal dibekukan selepas ini.

“Semua akaun dibekukan mengikut peruntukan undang-undang negara ini sebagaimana lazimnya dilakukan, dan oleh itu, tidak timbul isu tindakan membekukan akaun diambil untuk menganiaya mana-mana pihak.”

Jumaat lalu, Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk Umno serta parti politik lain yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB.

Pasukan Petugas Khas 1MDB berkenaan dianggotai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/29/pasukan-petugas-khas-1mdb-sahkan-akaun-umno-dibeku/