Ramai mangsa tertipu lesen ‘ekspres’ di FB, kata JPJ Kedah

Sindiket itu menawarkan bayaran lebih murah dari harga asal dan calon tidak perlu mengikuti kelas memandu dan ujian yang ditetapkan JPJ. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah percaya lebih ramai terpedaya dengan sindiket yang menawarkan lesen memandu segera serta mudah di negeri ini yang menggunakan laman sosial Facebook.

Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Sharif berkata, sehingga kini 10 hingga 15 aduan mengenai sindiket itu diterima terutama di daerah Baling, Kuala Muda dan Kulim, namun masih ramai yang tertipu dan gagal mengemukakan aduan kepada pihak polis kerana malu.

“Sindiket menawarkan bayaran yang lebih murah dari harga asal, dan menarik lagi apabila calon tidak perlu mengikuti kelas memandu dan ujian yang ditetapkan oleh JPJ serta cepat, namun tanpa disedari lesen yang mereka dapat itu tiada rekod yang tertera dalam sistem kita.

“Sebenarnya tiada jalan pintas untuk mendapat lesen memandu yang sah dan rujuklah dulu dengan cawangan JPJ di daerah atau sekolah memandu jika ada pihak yang datang membuat tawaran yang murah dan meragukan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sinar Lebaran Aidilfitri JPJ Kedah, hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan, tular di sebuah Facebook milik pihak tertentu yang menawarkan lesen memandu yang murah dan mengambil masa yang singkat tanpa melalui sukatan pelajaran yang ditetapkan JPJ.

Laman sosial itu juga mendakwa memperdaya kira-kira 50 orang bagi tujuan itu selain menawarkan perkhidmatan tukar hak milik kenderaan sekiranya gagal mengesan pemilik asal.

Sindiket menawarkan harga murah RM250-RM300 bagi lesen motosikal berbanding RM350-RM450 dan bagi lesen kereta tranmisi manual hanya RM500-RM600 berbanding RM1,150-RM1,300 yang ditawarkan JPJ.

“Kita sarankan orang ramai hadir ke pusat latihan dan ujian memandu yang diiktiraf di mana-mana kawasan berhampuiran untuk kita berikan lesen yang sah, berkualiti dan selamat, dan jangan percaya dengan tawaran yang tular melalui media sosial itu,” katanya.

Sementara itu, Isma Suhaimi berkata, orang ramai boleh membuat bidaan bagi nombor siri pendaftaran “KEP” bermula hari ini hingga 16 Julai ini.

“Kita harap nilai bidaan kali ini lebih tinggi dari ‘KEN’ yang mencatatkan bidaan RM4.3 juta dengan nombor pendaftaran KEN 1 mendapat bidaan tertinggi dengan RM510,000,” katanya.