Selepas 2 hari dilantik, Zahid hadir beri keterangan kepada SPRM

SPRM sebelum ini menyebut Zahid dipanggil untuk membantu siasatan membabitkan 2 kes berasingan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Selepas 2 hari dilantik sebagai presiden Umno yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan keterangan berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan milik ahli keluarganya.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 9.52 pagi ini dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire.

Zahid yang memakai baju batik bewarna oren tersenyum dan melambai kepada petugas media.

Semalam, bekas timbalan perdana menteri itu mengesahkan SPRM memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan milik ahli keluarganya.

SPRM sebelum ini menyebut Zahid dipanggil untuk membantu siasatan membabitkan 2 kes berasingan.

Menurut laporan media SPRM dijangka mengambil keterangan beliau berhubung dakwaannya perjumpaan dengan seorang kerabat diraja Arab Saudi yang dikatakan menderma wang kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan siasatan SPRM sejak awal tahun ini mendapati seorang pemimpin tertinggi Umno disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan itu untuk membayar bil kad kredit miliknya dan isteri sejak 2014 hingga 2016.