Selepas 8 jam, Zahid sambung beri keterangan kepada SPRM esok

Zahid Hamidi juga mengesahkan SPRM memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan milik ahli keluarganya.

PUTRAJAYA: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan keterangan kira-kira 8 jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan 2 kes berasingan.

Zahid berkata, beliau memberikan keterangan berhubung perjumpaan dengan wakil kerabat diraja Arab Saudi yang dikatakan menderma wang kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Dan ianya pada hemat saya telah selesai. Tapi esok akan disambung… persoalan mengenai Yayasan Akal Budi dan saya akan maklumkan esok,” katanya kepada pemberita di luar lobi SPRM, hari ini.

SPRM sebelum ini menyebut Zahid dipanggil untuk membantu siasatan membabitkan 2 kes berasingan.

Menurut laporan media, SPRM mengambil keterangan beliau berhubung dakwaannya perjumpaannya dengan seorang kerabat diraja Arab Saudi yang dikatakan menderma wang kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, bekas timbalan perdana menteri itu turut mengesahkan SPRM memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan milik ahli keluarganya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan siasatan SPRM sejak awal tahun ini mendapati seorang pemimpin tertinggi Umno disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan itu untuk membayar bil kad kredit miliknya dan isteri sejak 2014 hingga 2016.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, SPRM memerlukan fail berkenaan perjumpaannya dengan wakil diraja Arab Saudi itu kerana mereka hanya memperoleh maklumat daripada media.

“Saya mengucapkan terima masih sebab memberikan peluang secukupnya untuk saya buat penjelasan,” katanya.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu turut berharap SPRM dapat merungkaikan mengenai perkara berkenaan kerana isu berkenaan menjadi persepsi kepada rakyat.

SPRM masih ambil keterangan Zahid

Selepas 2 hari dilantik, Zahid hadir beri keterangan kepada SPRM