Sisters In Islam: Larang kahwin bawah umur kepada semua kanak-kanak

Sisters in Islam berkata tidak wajar meletakkan beban terhadap kanak-kanak kerana perkahwinan menuntut keupayaan dan kesediaan suami dan isteri menggalas tanggungjawab. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sisters in Islam (SIS) hari ini menggesa larangan perkahwinan bawah umur terhadap semua kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira agama anutan.

NGO itu berkata tiada keadaan yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak berlaku di negara ini, memandangkan Malaysia bercita-cita untuk maju dalam sosio-ekonomi dan kemodenan yang komprehensif dan inklusif.

“Oleh itu, penting bagi kerajaan menerajui peralihan pemikiran budaya dan sosial bagi memastikan perkahwinan kanak-kanak dielakkan,” kata SIS dalam kenyataan yang dikeluarkan pengurus komunikasinya, Majidah Hashim.

“Selagi kerajaan enggan mengambil tindakan tegas berhubung isu moral seperti perkahwinan kanak-kanak, akan ada pihak yang terus menderita menanggung akibatnya.

“Perkahwinan adalah tanggungjawab agama dan sosial yang menuntut keupayaan dan kesediaan suami dan isteri menggalas tanggungjawab, jadi adalah tidak wajar meletakkan beban ini kepada kanak-kanak.”

Perkahwinan bawah umur menjadi perdebatan berikutan laporan seorang peraih getah berusia 41 tahun dari Kelantan, Che Abdul Karim Che Abdul Hamid berkahwin dengan Masaryu Mat Rashid, 11.

Che Abdul Karim mempertahankan tindakannya sambil berkata beliau menerima persetujuan ibu bapa gadis itu.

Beliau berkata 2 lagi isterinya juga menerima perkahwinannya dengan Masaryu, dan berjanji akan mendapatkan sijil nikah isterinya itu 5 tahun lagi apabila mencapai usia 16 tahun sebelum mereka dapat tinggal bersama.

Had umur minimum perkahwinan di bawah undang-undang sivil ialah 18 tahun, sementara Mahkamah Syariah diberi kuasa membenarkan perkahwinan pasangan Islam berumur 16 tahun atau kurang.

Majidah berkata penerbitan SIS yang ditulis dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Sumber Asia Pasifik Mengenai Wanita, mendapati hampir 153,000 gadis bawah umur 19 berkahwin di Malaysia, kebanyakannya dari komuniti Melayu Islam, berdasarkan angka dari bancian penduduk pada 2010.

Daripada jumlah itu, 80,000 adalah kanak-kanak perempuan dan selebihnya adalah lelaki.

Walaupun kemiskinan adalah faktor penyebab perkahwinan kanak-kanak di kebanyakan negara di dunia, pemacu utama perkahwinan kanak-kanak di Malaysia adalah konservatisme agama, kepercayaan patriarki dan alasan perbuatan ketidaksopanan seksual.

Majidah berkata laporan bersama baru-baru ini oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Universiti Al-Azhar Mesir mengumumkan “perkahwinan kanak-kanak tidak lebih daripada adat; ia bukan sebahagian daripada syariah atau ibadat dan ia diamalkan tanpa keraguan kepada kesan buruk yang ketara”.

Laporan itu juga mencadangkan usia perkahwinan yang sepatutnya dalah lebih 18 tahun.

Majidah menyatakan kebanyakan negara majoriti Islam menaikkan usia minimum perkahwinan.

Ini termasuk Algeria (19 untuk lelaki dan wanita), Bangladesh (18 untuk wanita dan 21 untuk lelaki), Maghribi (18 untuk lelaki dan wanita) dan Turki (yang menaikkan usia minimum perkahwinan dari 15 hingga 18 untuk wanita).

Usia perkahwinan akan dinaikkan, kata Wan Azizah

Lelaki kahwin kanak-kanak pertahan tindakan, dakwa isterinya sanggup bermadu