SPRM masih ambil keterangan Zahid

Zahid antara individu penting disiasat SPRM selepas bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor memberi keterangan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Proses mengambil keterangan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung siasatan 2 kes masih berlangsung selepas lebih 2 jam beliau tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Zahid yang tiba pada kira-kira 9.50 pagi masih belum keluar dari perkarangan bangunan tersebut setakat 12.40 tengah hari.

Seorang pegawai SPRM yang ditemui mengesahkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih berada dalam bangunan berkenaan dan belum selesai memberi keterangan berhubung kes itu.

Pagi tadi, Zahid yang tiba di perkarangan bangunan SPRM diserbu pengamal media tempatan dan antarabangsa yang menunggu seawal 8 pagi bagi membuat liputan kes melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Pada 27 Jun lepas, Zahid dihubungi oleh SPRM meminta beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapannya mengikut Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata Zahid dikehendaki hadir bagi membantu siasatan membabitkan 2 kes tetapi beliau tidak mengulas lanjut 2 kes berkenaan.

Semalam, Zahid berkata keterangan yang akan diberikan adalah berkenaan kes penyelewengan dana yayasan miliknya.