Tunjuk bukti jika wujud politik wang, kata timbalan presiden Umno

Mohamad Hassan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya jika benar berlaku politik wang.

SEREMBAN: “Sekiranya benar wujud amalan politik wang pada pemilihan Umno bukti perlu dikemukakan,” kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan itu berkata ini bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

“Tidak usahlah cakap sahaja, jika ada bukti buat laporan,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah speaker, timbalan speaker DUN dan Adun Negeri Sembilan pada Persidangan (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14, di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini yang mendakwa beliau mendapat khabar dalam pemilihan Umno kali ini banyak wang digunakan.

Pada pemilihan parti yang berlangsung Sabtu lepas, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai presiden dengan 99 undi manakala Khairy Jamaluddin memperoleh 61 undi dan Tengku Razaleigh memperoleh 30 undi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata pemilihan adun BN sebagai ketua pembangkang sidang DUN penggal ini sedang dibincangkan.

Katanya, tugas sebagai pembangkang bukan hanya untuk membangkang sahaja, tetapi turut memain peranan dalam memantau perjalanan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri agar rakyat menerima manfaat dengan setiap dasar yang dilaksanakan.

Ku Li: Ambil duit, tapi jangan undi calon amal politik wang