Utusan kecam ‘ayam kokok’ Guan Eng, lunak terhadap Dr M

Ia berkata pelantikan Lim sebagai menteri Kabinet tidak pernah berlaku di serata dunia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Akhbar Utusan Malaysia melancarkan serangan paling keras terhadap DAP sejak pilihan raya umum 9 Mei lepas, tetapi lebih berhati-hati ketika menyentuh Dr Mahathir Mohamad, malah menyokong kenyataan terbaru perdana menteri itu.

Dalam sorotan berita mingguannya, akhbar berkait Umno itu menempelak Lim Guan Eng berhubung kritikan beliau terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan berkata pelantikannya sebagai menteri kewangan sewaktu menghadapi pendakwaan rasuah di mahkamah sangat dipersoalkan.

Ia berkata pelantikan Lim sebagai menteri Kabinet tidak pernah berlaku di serata dunia.

“Belum pernah ada individu di serata dunia yang sedang berhadapan perbicaraan rasuah dilantik sebagai menteri kecuali di Malaysia,” kata akhbar itu dalam edisi hari minggunya.

Merujuk kepada 2 pendakwaan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Lim melibatkan banglo yang dibelinya di bawah harga pasaran, Utusan berkata beliau tidak berhak untuk terus mengkritik Najib berikutan pendedahan polis bahawa nilai mata wang dan barangan kemas yang dirampas mencecah angka RM1 bilion.

Akhbar itu berkata perbuatan Lim samalah bagai ayam yang kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang najis.

Lim baru-baru ini menyifatkan hasil penemuan polis berikutan rampasan di rumah Najib sebagai “memeranjatkan” dan dalam temu bual dengan Associated Press itu berkata, kerajaan merancang menjual barangan kemas dan mewah yang dirampas.

Sejak mengambil alih jawatan kewangan, setiausaha agung DAP itu, turut menyerang dasar kewangan pentadbiran sebelum ini dengan berkata ia menyebakan hutang kerajaan berjumlah RM1 trilion.

Tetapi kata Utusan, kes rasuah Lim sendiri, yang kini tertangguh menunggu semakan Pejabat Peguam Negara, menimbulkan keraguan ke atas integriti beliau.

“Malulah pada diri sendiri,” tambah akhbar itu.

Kecaman keras terhadap Lim berlawanan sama sekali dengan sokongan akhbar itu kepada beberapa kenyataan Dr Mahathir, termasuk pengumuman perdana menteri kerajaan akan meneruskan agenda pemerkasaan ekonomi orang Melayu.

Ia juga mengalu-alukan kenyataan Dr Mahathir mahu mengkaji semula perjanjian air dengan Singapura.

“Menjual air pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah kepada Singapura tidak masuk akal. Sudah sampai masa perjanjian itu disemak semula supaya ia lebih realistik dan adil dalam menjaga kepentingan Malaysia,” katanya.