Zeti kekal dalam majlis penasihat selepas dilantik pengerusi PNB

Zeti Akhtar Aziz menganggotai majlis yang menasihat kerajaan tentang ekonomi dan kewangan.

KUALA LUMPUR: Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz akan terus menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan selepas dilantik pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) baru.

“Saya masih akan menjadi ahli majlis. Kerja yang perlu kami selesaikan hanya separuh lagi, sudah kira-kira 50 hari sekarang.

“Masih banyak kerja untuk dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat majlis hari ini.

Zeti dilantik pengerusi PNB Jumaat lepas, menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang meletak jawatan secara rasmi hari ini.

Zeti sebahagian daripada majlis yang menasihati kerajaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tentang hal ehwal ekonomi dan kewangan.

Zeti, yang berkhidmat sebagai gabenor BNM sehingga 2016, terharu dengan pelantikan ke PNB dan tidak sabar-sabar untuk bekerja dengan pasukan itu.

“Saya akan temui mereka buat pertama kali petang ini,” katanya, dan menambah dia tidak boleh berikan apa-apa komen sebelum diberi taklimat.