Afrika mahu Malaysia hidupkan semula Kerjasama Selatan-Selatan

Pesuruhjaya Tinggi Ghana ke Malaysia, Akua Sakyiwa Ahenkorah juga mahu Malaysia menghidupkan semula Dialog Antarabangsa Langkawi. (Gambar Faceboo)

KUALA LUMPUR: Negara-negara Afrika berharap kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghidupkan semula Kerjasama Selatan-Selatan (SSC) dan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID).

“Sepanjang tempoh Dr Mahathir sebagai perdana menteri dari tahun 1981 hingga 2003, beliau banyak berusaha untuk SSC dan mewujudkan LID. Afrika mendapat banyak manfaat daripada projek perdana di bawah SSC.

“Ia menggalakkan rakyat Malaysia melabur di Afrika dan rakyat Afrika mengetahui lebih banyak mengenai Malaysia, bukan hanya sebagai negara tetapi juga rakan kongsi,” kata Pesuruhjaya Tinggi Ghana ke Malaysia, Akua Sakyiwa Ahenkorah kepada Bernama pada sambutan Hari Afrika 2018 baru-baru ini.

Sepanjang tempoh itu juga, dasar luar Malaysia secara konsisten memperjuangkan negara Selatan seperti Afrika, Amerika Latin dan Asean untuk menjadi negara yang kukuh serta berdikari dari aspek ekonomi dan politik.

Inisiatif utama Malaysia untuk SSC diterjemahkan menerusi penubuhan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

SSC merupakan rangka kerja yang luas untuk kerjasama antara negara-negara Selatan dan merupakan bahagian penting dalam dasar luar Malaysia, selain “Nilai Asia” dan “Dasar Pandang Ke Timur”.

LID, yang diadakan setiap 2 tahun, dimulakan Dr Mahathir sejak 1995 sebagai platform untuk pemimpin Malaysia dan Afrika meningkatkan hubungan. Kali terakhir LID diadakan ialah pada Jun 2011.

Negara Afrika berharap masa depan yang lebih baik dengan Malaysia selain bersedia melibatkan diri dengan pegawai serta ahli perniagaan Malaysia untuk meningkatkan hubungan 2 hala dan mewujudkan pelaburan.

“Afrika tidak sabar untuk membina dan memperkukuhkan hubungan dengan Malaysia. Kami berhasarat untuk meningkatkan hubungan Afrika-Malaysia dan belajar daripada pengalaman Malaysia.

“Dr Mahathir adalah suara untuk Selatan kerana beliau tidak hanya bercakap tentang Malaysia. Kami sentiasa merasakan seperti sebahagian daripada beliau dan sangat menghargai persahabatan ini.” kata Akua Sakyiwa.