Ahli Parlimen DAP dilantik speaker DUN Perak
Ngeh Koo Ham mendapat 31 undi menewaskan calon PAS yang mendapat 3 undi dan calon BN menerima 25 undi.
IPOH: Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dilantik sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada mesyuarat pertama, penggal pertama DUN ke-14 Perak.
Bekas pengerusi DAP Perak itu dipilih selepas mendapat 31 undi mengalahkan 2 calon lain, iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki yang memperoleh 3 undi dan bekas timbalan speaker DUN Perak, Datuk Nasaruddin Hashim daripada Barisan Nasional (BN) menerima 25 undi.
Ngeh, 57, yang juga seorang peguam mempertahankan kerusi Parlimen Beruas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 27,954 undi dalam pertandingan 3 penjuru.
Pelantikan speaker DUN kecoh hampir sejam selepas Setiausaha DUN, Kamarulariffin Ayub memaklumkan 3 nama diterima hingga tarikh akhir pencalonan, iaitu 26 Jun lalu.
Bagaimanapun, Adun Pengkalan Baru daripada BN, Datuk Abdul Manaf Hashim mempertikaikan perkara itu dengan berkata, pihaknya dimaklumkan ada 4 nama, masing-masing 2 daripada BN dan PAS, manakala 2 lagi daripada pihak kerajaan.
Manaf mahu setiausaha dewan mendedahkan nama calon ke-4, tetapi ia ditolak Kamarulariffin.
Sementara itu, ADUN Behrang (Amanah), Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai timbalan speaker DUN selepas tiada nama lain dicalonkan untuk jawatan itu sehingga tarikh akhir pencalonan.
Pada persidangan sehari itu juga, semua 59 adun mengangkat sumpah jawatan, didahului Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu di depan Ngeh.
Persidangan kemudian ditangguhkan hingga ke tarikh yang belum ditetapkan.
Pada PRU14 lepas, Pakatan Harapan (PH) memenangi 29 kerusi DUN, BN (27) dan PAS (3).
PH bagaimanapun mendapat mandat membentuk kerajaan negeri, selepas memperoleh majoriti mudah 31 kerusi apabila 2 adun BN menyatakan sokongan kepada gabungan itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram