Asri satu-satunya mufti saya temui, kata bekas polis
Selain Asri Zainul Abidin, Awaluddin Jadid turut menemui pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis untuk membincangkan isu penyelewengan agama, termasuk Syiah.
KUALA LUMPUR: Bekas penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2), Datuk Awaludin Jadid berkata, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin ialah satu-satunya mufti yang membincangkan isu Syiah dan penyelewengan agama dengannya.
Awaluddin yang baru bersara 3 hari lalu, memberitahu panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menyiasat kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat, hari ini.
Selain mufti Perlis, katanya, beliau turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis atas permintaannya untuk membincangkan isu penyelewengan agama, termasuk Syiah.
“Perjumpaan dengan Asri pertama kali sebagai seorang mufti, tidak pernah jumpa dengan mufti di negeri lain untuk berbincang soal penyelewengan agama, termasuk Syiah.
“Tetapi, walaupun tak berjumpa dan berbincang dengan mufti lain, saya jumpa pegawai agama Islam yang lain di setiap negeri dalam membuat kajian.”
Awaludin menjawab soalan peguam keluarga Amri berhubung perjumpaannya dengan Asri pada 7 Oktober 2016 di pejabat mufti Perelis itu, ketika beliau masih berkhidmat di Bukit Aman.
“Saya pergi melawat Perlis pada masa itu, tidak timbul isu, kita buat kerja lain termasuklah membincangkan isu sempadan.
“Kita bincang isu Amri yang dikaitkan dengan Syiah, tetapi bukan khusus kepada isu Syiah sahaja, isu lain seperti Tarekat Tijani di mana timbul fatwa yang mengatakan ia haram. Kami juga bincang isu IS kerana Perlis dekat dengan sempadan Thailand.”
Sebelum ini, isteri Amri, Norhayati Ariffin mendakwa Awaludin menemui Asri sebulan sebelum kehilangan suaminya pada 24 November 2016.
Pada 26 Jun lalu, seorang pegawai Cawangan Khas (SB) dari Perlis, Razman Ramli ketika memberi keterangan kepada Suhakam mengesahkan pertemuan Awaludin dengan Asri, tetapi pelbagai isu agama dibincangkan, tidak hanya khusus kepada penglibatan Amri dengan ajarah Syiah.
Nafi dakwaan isteri Amri
Awaludin menafikan dakwaan Norhayati dalam laporan polisnya yang beliau mengarahkan dan mengetuai operasi menahan Amri kerana dikaitkan dengan penyebaran ajaran Syiah.
“Kita ada buat kajian berkaitan Syiah, tapi apa yang beliau (isteri Amri) kata saya beri arahan itu tidak betul,” katanya sambil menambah beliau hanya tahu Amri hilang beberapa hari kemudian.
Pada 30 Mei lalu, Norhayati memberitahu inkuiri Suhakam, suaminya ditangkap dan dipukul polis.
Pendedahan Norhayati itu dibuat selepas pegawai polis berpangkat sarjan, Shamzaini Mohd Daud memberitahunya pada malam 12 Mei lalu yang “pegawai Bukit Aman guna cara kasar pukul Amri, pecahkan cermin kereta Amri, letak kereta di Bukit Chabang”.
Katanya, Shamzaini turut memberitahunya operasi menahan Amri diketuai Awaludin.
Awaludin hari ini bagaimanapun menafikan beliau mengenali pegawai polis bernama Shamzaini.
Polis Cawangan Khas beritahu saya Amri dipukul ketika diculik, kata isteri
Amri hilang: Pegawai SB tak pasti KPN diberitahu tentang siasatan Syiah
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram