Bayar kad kredit guna wang yayasan hanya kesilapan, kata Zahid

Zahid Hamidi bercakap dengan media selepas 7 jam memberi keterangan di pejabat SPRM hari ini.

PUTRAJAYA: Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah melunaskan bayaran kepada yayasan milik keluarganya dan menyalahkan pegawai yayasan itu kerana tersilap menggunakan wang yayasan untuk membayar bil kad kreditnya.

“Saya telah membuat bayaran balik kepada yayasan itu pada 2016. Ini adalah kesilapan transaksi oleh pegawai (yayasan) yang menggunakan akaun yayasan ketika saya memintanya membuat pembayaran melalui akaun peribadi saya,” katanya setelah disoal siasat hampir 7 jam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Zahid berkata tiada penyelewengan dana oleh Yayasan Akal Budi, sambil menambah semua perbelanjaan mengikut peraturan yayasan.

“Saya telah memberi keterangan kepada SPRM dan menyerahkan salinan pembayaran cek,” kata Zahid.

Beliau berharap keterangan yang diberikannya kepada SPRM akan membersihkan persepsi negatif terhadap beliau sebagai presiden baharu yang dipilih oleh Umno.

Sebelum ini dilaporkan Zahid akan disoal siasat berhubung dakwaan RM800,000 wang yayasan itu digunakan untuk membayar kad kredit miliknya dan isteri.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/02/selepas-8-jam-zahid-sambung-beri-keterangan-kepada-sprm-esok/