Cuepacs saran penjawat awam sumbang kepada Tabung Harapan

Azih Muda berkata, Cuepacs menyasarkan sumbangan RM10 juta yang boleh dibuat melalui potongan gaji bulan depan atau memberi wang secara terus kepada ketua jabatan masing-masing. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan penjawat awam menyumbang sekurang-kurangnya RM10 kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) secara sukarela.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata saranan itu diputuskan selepas mendapat persetujuan daripada mesyuarat kongres kali pertama 2018 yang bersidang pada 26 Jun lalu.

Sumbangan boleh dibuat melalui potongan gaji pada Ogos ini atau memberi terus secara tunai kepada ketua jabatan masing-masing, katanya dalam sidang media semalam.

Sehubungan itu, Azih akan memanjangkan cadangan itu kepada ketua setiausaha negara dalam masa terdekat untuk disampaikan kepada semua agensi kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan, negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan.

“Kita tahu ada penjawat awam yang sudah memberi sumbangan, tetapi kalau hendak menyumbang semula, tak ada salahnya. Apa yang kita maksudkan adalah penyertaan daripada seluruh penjawat awam kerana THM dibentuk oleh kerajaan.

“Ini juga merupakan tanggungjawab sosial daripada penjawat awam, khususnya kepada kumpulan Pelaksana 1 dan 2 serta Pengurusan.”

Katanya, dengan 1.6 juta penjawat awam, Cuepacs turut menyasarkan sumbangan RM10 juta bakal diperolehi.

“Kami minta penjawat awam anggap ini sebagai satu kerja kebajikan. Kami akan umumkan sumbangan itu selepas diperoleh,” katanya sambil berharap penjawat awam ikhlas dan tiada prejudis dalam memberi sumbangan kepada THM.

“Kami tidak mengenakan apa-apa tekanan atau paksaan pada mereka. Sumbangan ini adalah secara sukarela daripada kesediaan dan kesudian mereka sendiri.”

THM dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas ramai pihak menyuarakan hasrat membantu kerajaan mengurangkan hutang negara berjumlah RM1 trilion.

Setakat ini, THM mengumpul RM132,255,355.92 (setakat 3 petang semalam) sejak dilancarkan pada 30 Mei lalu. Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 5660-1062-6452.