Episod 1MDB tunjuk betapa penting media bebas, kata editor Sarawak Report

Claire Rewcastle Brown berkata kebebasan media penting untuk pantau pemimpin.

PETALING JAYA: Claire Rewcastle Brown, wartawan berpangkalan di London yang menjadi antara watak utama sebalik pendedahan hal ehwal 1MDB lega “orang paling berkuasa” di Malaysia dibawa ke muka pengadilan, susulan tangkapan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Claire, yang dikehendaki polis susulan laporan tentang syarikat milik kerajaan itu yang disiarkan di laman Sarawak Report berkata, keseluruhan episod 1MDB menunjukkan betapa penting kebebasan media supaya pemimpin dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.

“Selama 3 tahun saya cuba melaporkan fakta kes dan maklumat membimbangkan yang perlu disiarkan dan disiasat. Saya dapati diri ini diburu pihak berkuasa ketika itu,” kata Claire.

“Rakyat Malaysia perlukan media yang bebas serta badan kehakiman dan polis yang bebas dan saya bersyukur perkara ini diakui dalam banyak perubahan struktur yang kita lihat sedang berjalan.”

Beliau berkata pemberita boleh tersilap lapor tetapi akibatnya ialah nama buruk atau disaman jika berniat jahat.

“Tetapi mereka tidak boleh dibungkam atau didakwa seperti penjenayah seperti yang dikenakan ke atas saya kerana mencabar Najib dalam hal 1MDB.”

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap Najib di kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur petang tadi.

Dia akan didakwa esok atas kesalahan berhubung SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Dalam serbuan ke atas beberapa hartanah swasta sejak 2 bulan lalu di Kuala Lumpur, polis menemui wang tunai dan barangan kemas dan barangan mahal, dianggarkan bernilai RM1 bilion.

Najib mempertahanka barangan yang dirampas itu adalah hadiah kepada keluarganya.

Najib, isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anak, Riza Aziz, dipanggil untuk memberi keterangan kepada penyiasat SPRM berhubung dakwaan berkaitan syarikat milik kerajaan itu.