Islam tak galak kahwini kanak-kanak, kata ahli majlis fatwa

Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis Ahmad Jusoh berkata isteri yang masih kecil tidak mampu melaksanakan tanggungjawab mengurus rumah tangga.

KANGAR: Islam membenarkan perkahwinan lelaki dengan kanak-kanak perempuan belum baligh tetapi perbuatan itu tidak digalakkan, kata Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, Prof Madya Datuk Ahmad Jusoh.

Menurutnya perbuatan itu berdasarkan 2 peristiwa yang berlaku semasa Nabi Muhammad masih hidup.

Peristiwa pertama, Nabi Muhammad sendiri berkahwin dengan Aisyah Abu Bakar semasa Aisyah baru berusia 9 tahun dan ke-2, Nabi Muhammad sendiri mengahwinkan Salamah dengan puteri bapa saudaranya Hamzah, Umamah ketika Umamah belum baligh, katanya.

Ahmad berkata berdasarkan 2 peristiwa itu jelas Islam tidak melarang seseorang lelaki berkahwin dengan kanak-kanak perempuan belum baligh tetapi ia tidak menggalakkannya kerana tidak memenuhi hikmah perkahwinan.

“Hikmah perkahwinan untuk memenuhi naluri seks tidak kesampaian jika berkahwin dengan kanak-kanak perempuan kerana hubungan seks tidak dibolehkan sehingga kanak-kanak berkenaan baligh,” katanya kepada Bernama, mengulas tindakan seorang peraih getah berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan yang berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun di Selatan Thailand pada 18 Jun lepas.

Menurut Ahmad, hikmah perkahwinan untuk mendapatkan zuriat juga tidak kesampaian kerana kanak-kanak yang belum ada haid tidak boleh mengandung.

“Isteri yang masih kecil juga tidak mungkin mampu melaksanakan tanggungjawab termasuk mengurus rumah tangga. Oleh sebab itu Islam tidak menggalakkan umatnya menikahi kanak-kanak perempuan yang belum baligh,” tambahnya.