Khalid: Kes DBKL jual 64 lot tanah kerajaan akan disiasat

Khalid Samad (kiri) berkata, kajian dalaman akan dijalankan pihaknya dan mereka juga akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menyiasat jika wujud unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah akan menjalankan siasatan dalaman berhubung penjualan 64 lot tanah kerajaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju.

Menterinya, Khalid Samad berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan itu, sekiranya ada unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada hari pertama beliau memulakan tugas.

“Ini hari pertama saya di kementerian. Saya tidak mahu jadi macam penyiasat. Saya mahu tangani semua dan bukan hendak tengok satu isu.

“Saya akan meneliti isu itu dan menjalankan kajian dalaman. Kita tidak menghalang SPRM melakukan siasatan,” katanya selepas sesi taklimatnya di Menara Seri Wilayah hari ini.

Sebelum Ini, Ahli Parlimen Kepong (DAP), Lim Lip Eng membuat laporan meminta SPRM menyiasat segera kes penjualan 64 bidang tanah berkeluasan 171 hektar pada harga RM4.28 bilion kepada Yayasan Wilayah Persekutuan pada 2013 melibatkan bekas menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Khalid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi jika ada salah laku serta mengutamakan ketelusan, integriti, amanah dan tanggungjawab dalam kalangan warga kementerian itu.

Mengenai projek River of Life, beliau berkata, ia antara projek yang akan diberi tumpuan, khususnya isu kebersihan, pengurusan sisa dan kesedaran umum.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, beliau akan melawat semua agensi di bawah kementeriannya termasuk di Labuan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perjalanan pentadbiran dan suasana di setiap agensi agar khidmat kepada penduduk di wilayah dapat dilaksanakan dengan cemerlang.