Lelaki kahwin kanak-kanak 11 tahun sedia dihukum

Che Mohd Karim Che Hamid berkata, beliau tidak bersalah kerana bernikah dengan kanak-kanak itu yang berwalikan bapanya. (Gambar Facebook)

GUA MUSANG: Lelaki berumur 41 tahun yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya di Sungai Golok, selatan Thailand pada 18 Jun lepas, sedia berdepan tindakan undang-undang.

Che Mohd Karim Che Hamid berkata, beliau sudah memberi kerjasama penuh kepada semua pihak yang menjalankan siasatan berhubung pernikahannya itu dan sedia menerima hukuman jika bersalah.

Bagaimanapun, beliau ketika ditemui di Kampung Panggong Lalat di sini, hari ini berkata beliau tetap tidak akan berpisah dengan isterinya itu dan bersedia menunggu 5 tahun lagi sehingga isterinya mencapai 16 tahun untuk tinggal bersama.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Zaini Sulaiman, berkata peraih getah itu boleh didakwa mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002 atas kesalahan berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah Syariah dan tidak mendapat kebenaran isteri untuk berpoligami.

“Saya rasa tidak bersalah kerana saya nikah juga diwakil wali bapa budak perempuan itu dan nikah gantung sehingga 5 tahun lagi sebelum boleh tinggal bersama.

“Pernikahan itu sudah diperjelaskan jurunikah Thailand terbabit supaya jangan tinggal bersama lagi kerana isteri ke-3 saya bawah umur,” kata lelaki yang berasal dari Gua Musang itu.

Nikah gantung bermaksud pernikahan antara pasangan tanpa duduk serumah untuk satu tempoh tertentu yang ditetapkan kedua-dua pihak.

Walaupun tidak tinggal bersama, Karim berjanji menjaga isteri ke-3 itu dengan baik sama seperti 2 lagi isterinya serta 6 anak.

“Walaupun isteri ke-3 itu tinggal bersama ibu bapanya dan terpaksa tunggu 5 tahun lagi untuk tinggal bersama saya, namun nafkah segala perbelanjaan tetap saya tanggung, termasuk diberi pendidikan agama.”

Keluarga budak perempuan itu yang merupakan warga Thailand tinggal di Gua Musang dengan mengambil upah menoreh getah.

Sebelum ini, beberapa gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ke-3 tersebar di media sosial sejak Jumaat lepas selepas dikongsikan isteri ke-2 lelaki terbabit.

Berikutan itu, pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki itu dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku.