Majlis Peguam gesa Putrajaya tubuh Suruhanjaya Kanak-kanak

George Varughese berkata 10,240 lelaki Islam memohon untuk menikahi kanak-kanak perempuan antara 2005 dan 2015, serta 7,719 permohonan lelaki bukan Islam berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 6 hingga 18 tahun, dari 2000 hingga 2014. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kanak-kanak sebagai badan untuk mengkaji perkahwinan kanak-kanak bawah umur dan isu lain berkaitan kanak-kanak di Malaysia, susulan kes perkahwinan seorang lelaki 41 tahun dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Presidennya, George Varughese mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang perkahwinan itu tidak sah.

Dalam satu kenyataan di sini malam tadi, beliau berkata, Majlis Peguam mencadangkan suruhanjaya itu diketuai seorang pesuruhjaya yang mempunyai kuasa untuk menangani isu seperti kekurangan dalam Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta penjagaan kanak-kanak dalam sistem keadilan juvana dan kebertanggungjawaban pelbagai agensi yang menangani isu kanak-kanak.

Beliau berkata, antara 2005 dan 2015, seramai 10,240 lelaki Islam memohon untuk menikahi kanak-kanak perempuan, sementara bagi lelaki bukan Islam, terdapat 7,719 permohonan dari 2000 hingga 2014 untuk berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 6 hingga 18 tahun.

Statistik ini tidak dapat diterima dan harus membangkitkan kesedaran tentang betapa seriusnya isu tersebut.

Semua perkara dan keputusan yang diambil berkaitan kanak-kanak mesti mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai yang perlu diutamakan, kata Varughese.

Beliau berkata, Majlis Peguam juga berharap kerajaan dapat melaksanakan pembaharuan undang-undang dan mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesan buruk perkahwinan bawah umur terhadap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak serta terdedah kepada risiko penderaan domestik dan seksual.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai obligasi memastikan pembangunan dan perlindungan yang sihat kepada semua kanak-kanak di negara ini berdasarkan penerimaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).