Menteri beri jaminan isu air Selangor selesai dalam 1 bulan

Dr Xavier Jayakumar berkata, jaminan menyelesaikan isu air dalam tempoh 100 hari turut terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum memenangi pilihan raya umum ke-14. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar hari ini memberi jaminan isu air di Selangor yang berlarutan sekian lama, akan selesai dalam tempoh sebulan.

Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhubung perkara itu dan sehingga kini, tidak banyak lagi isu yang perlu dimuktamadkan.

“Hanya sedikit yang belum dipersetujui, namun kita percaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Saya akan minta jemaah menteri untuk lanjutkan tempoh sebulan lagi,” katanya pada sidang media di sini.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu melapor diri di Wisma Sumber Asli hari ini selepas mengangkat sumpah menerajui kementerian itu, semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Azizan Ahmad dan ketua pengarah jabatan serta agensi di bawah kementerian yang baru diwujudkan itu.

Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan persekutuan semasa pentadbrian Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan kerajaan negeri hanya menyelesaikan pengambilalihan 3 syarikat konsesi air lain.

Mengulas lanjut, Jayakumar berkata, tarikh akhir untuk mengetahui kedudukan berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor sepatutnya berakhir esok.

Ditanya mengapa isu air Selangor mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan, bekas exco Selangor dan pernah memegang beberapa jawatan penting, termasuk Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Mentah Selangor sejak 2014 itu, enggan mengulas lanjut, namun berkata semua pihak terlibat menunjukkan komitmen menyelesaikan isu itu dengan segera.

“Jangan kita bincangkan tentang masa lalu, tetapi lihat ke masa depan, saya rasa kita bersedia untuk menyelesaikan masalah ini yang telah berlarutan. Semua pihak bersedia menyelesaikannya dalam masa sebulan.”

Katanya, jaminan untuk menyelesaikan isu air dalam tempoh 100 hari turut terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum memenangi pilihan raya umum ke-14.

Dalam perkembangan lain, naib presiden PKR itu berkata, tempoh moratorium aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang yang sepatutnya berakhir 30 Jun lalu dilanjutkan sehingga tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ditanya mengenai hari pertama memasuki pejabatnya, beliau berkata: “Saya sangat gemuruh” dalam nada bergurau dan berkata, beliau bersemangat untuk memulakan tugas.