Najib mohon maaf beberapa jam sebelum tangkapan

KUALA LUMPUR: Beberapa jam sebelum tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kepada rakyat Malaysia, tetapi memberi amaran kepada pengkritiknya tentang balasan Tuhan di tengah-tengah liputan media ke atas wang dan barangan mewah yang dirampas dari rumahnya sedang hangat dilakukan.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia berhak mendapat pimpinan yang terbaik. Saya sudah melakukan sedaya upaya saya. Namun, saya sedar ia tidak mencukupi kerana saya akui ada banyak kelemahan,” katanya dalam pesanan yang dirakam beberapa jam sebelum meninggalkan rumahnya di Taman Duta pagi tadi.

Beliau hari ini disoal oleh SPRM berhubung sejumlah wang lebih kurang RM42 juta yang diterimanya menerusi entiti dikaitkan dengan 1MDB.

Jumlah itu dipercayai dipindahkan dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, kepada akaun bank peribadi Najib.

Najib yang mana pimpinannya selama 9 tahun berakhir bersama kejatuhan kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir selama 6 dekad, merayu orang ramai membiarkan siasatan ke atasnya dijalankan dahulu.

Dalam pesanannya, Najib berkata walaupun beliau tidak sempurna, beliau menjadi mangsa spekulasi dan khabar angin, yang mengandungi tuduhan yang menurutnya “tidak semuanya benar”.

“Memang rumah kami digeledah selama berhari-hari. Memang saya disiasat, dan ada barang yang dirampas. Namun, semua ini belum konklusif. Ada banyak berita, gambar yang tersebar, bersifat khabar angin, palsu, putar belit dan fitnah,” katanya.

Najib berkata semua orang sama rata di sisi undang-undang, tetapi beliau mengingatkan, balasan Tuhan menanti sesiapa yang memfitnahnya selepas kejatuhannya.

“Tiada sesiapa yang akan terlepas, termasuklah yang penguasa di dalam kerajaan hari ini dan mereka yang menyebar khabar angin serta mengaibkan orang lain,” katanya.

Sejak kekalahannya 2 bulan lepas, Najib dan ahli keluarganya menjadi sasaran serbuan polis, ditambah pula dengan gambar-gambar mengejutkan menunjukan barangan mewah dan beg-beg berisi duit bernilai jutaan dolar dirampas dari hartanah yang dikaitkan dengannya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar siasatan itu itu “tidak boleh dirunding” bagi memenuhi janjinya untuk menjalankan siasatan ke atas dakwaan berbilion dolar digelapkan dari 1MDB.

Dalam mesejnya, Najib berkata beliau bersyukur kerana dapat menjalani “dugaan dunia”.

“Saya tetap bersyukur, kerana tidak semua yang berpeluang menjalani dugaan dunia. Kita semua tahu bahawa dugaan di akhirat adalah jauh lebih perit. Saya akan hadapi dengan tabah.”

“Sesungguhnya Allah maha mengetahui, maha mengasihani dan maha penyayang.”