NGO: Perkahwinan bawah umur kerap berlaku di pedalaman Sarawak

Albert Banfa berkata, isu perkahwinan bawah umur di Sarawak berlaku kerana remaja tidak berpeluang dan berminat ke sekolah yang jauh dari rumah serta tiada kemudahan asas untuk memudahkan mereka ke sekolah. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan menggesa Putrajaya tidak hanya menumpukan perkahwinan bawah umur di Semenanjung Malaysia kerana keadaan sama kerap berlaku di Sarawak, khasnya kawasan pedalaman yang membabitkan remaja perempuan berusia 15 tahun dan ke bawah.

Penyelaras media Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Albert Banfa berkata perkahwinan bawah umur di Sarawak berlaku disebabkan 2 faktor utama iaitu keterlanjuran dan tiada peluang mendapat pendidikan.

“Isu perkahwinan bawah umur khususnya di Sarawak wujud disebabkan mereka tidak berpeluang dan berminat ke sekolah yang jauh dari rumah serta tiada kemudahan asas disediakan bagi memudahkan mereka ke sekolah berbanding di kawasan bandar.

“Terdapat juga pelajar sekolah yang berkahwin awal pada usia 15 hingga 17 tahun dengan pasangan mereka disebabkan terlanjur. Bagi menjaga aib, mereka dipaksa berkahwin,” katanya kepada FMT.

Seorang lelaki berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan dilapor berkahwin dengan seorang kanak-kanak perempuan warga Thailand yang berusia 11 tahun sebagai isteri ke-3 beliau dan gambar mereka melangsungkan perkahwinan tersebar di media sosial sejak Jumaat lalu.

Che Abdul Karim Che Abdul Hamid mengakui sebelum bernikah dengan isteri ke-3 yang dikenali sebagai Ayu, beliau terlebih dahulu meminta kebenaran ibu bapa kanak-kanak itu dengan syarat mereka nikah gantung dahulu dan akan tunggu 5 tahun untuk tinggal bersama.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, lelaki itu disiasat di bawah elemen antun atau “sexual grooming” yang merupakan satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Katanya, kerajaan menganggap pasangan itu tidak berkahwin selagi tiada bukti dikemukakan.

Albert berkata, di Sarawak, remaja perempuan yang terlanjur tetap melahirkan bayi itu, walaupun pihak lelaki enggan bertanggungjawab.

Katanya, bayi itu kemudiannya diserahkan kepada keluarga angkat yang sudi menjaganya kerana mereka masih muda dan tidak berkemampuan.

“Di kawasan pedalaman selalunya ada perkahwinan bawah umur, mereka akan dikahwinkan kerana sudah tidak mampu menjaga anak tersebut dan memberi tanggungjawab itu kepada orang lain bagi meringankan beban mereka.

“Selalunya pada usia 15 hingga 17 tahun, remaja di sana sudah mempunyai anak dan terpaksa tinggal bersama keluarga sendiri kerana tidak mampu.”

Beliau berkata, ada sesetengah pasangan muda akan tinggal di bandar bagi mencari rezeki dan terpaksa meninggalkan anak mereka di kampung untuk dijaga kedua ibu bapa.

Katanya, JOAS sering mengadakan latihan di kawasan pedalaman untuk mendidik remaja mengenai cara menjaga anak mereka.

“JOAS berharap kerajaan baru tegas dalam melaksanakan tugas mereka kerana Malaysia sudah memeterai Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan mereka perlu bersifat terbuka serta mendengar pendapat NGO yang memperjuangkan hak kanak-kanak.”

Semalam, Presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata, seramai 10,240 lelaki Islam memohon menikahi kanak-kanak perempuan antara 2005 dan 2015, serta terdapat 7,719 permohonan lelaki bukan Islam berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 6 hingga 18 tahun, dari 2000 hingga 2014.

Ibu bapa restui anak 11 tahun jadi isteri ke-3

Lelaki kahwin kanak-kanak pertahan tindakan, dakwa isterinya sanggup bermadu

Lelaki kahwini kanak-kanak 11 tahun disiasat bawah ‘sexual grooming’