Nikah kanak-kanak 11 tahun tanpa kebenaran majlis agama Narathiwat

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat Safei Cheklah berkata perkahwinan itu tidak salah dari segi syarak tetapi salah di sisi undang-undang Malaysia.

NARATHIWAT: Majlis Agama Islam Narathiwat mendapati pernikahan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki 41 tahun yang tular di media sosial Malaysia baru-baru ini dilakukan tanpa kebenaran majlis agama di wilayah selatan Thailand itu.

Yang Dipertuanya Safei Cheklah berkata, pernikahan itu dilakukan oleh seorang imam di Kampung Padang Nyor, Mukim Munok, Sungai Golok di wilayah Narathiwat yang terletak di sempadan Thailand-Malaysia.

“Majlis mendapati pernikahan itu dilakukan oleh pihak imam itu sendiri tanpa sebarang kebenaran daripada pihak majlis. Pihak imam itu melakukannya secara peribadi,” katanya kepada Bernama hari ini selepas menghadiri mesyuarat bagi membincangkan perkara itu hari ini.

Katanya, pihak wali kepada pernikahan itu adalah ayah kanak-kanak perempuan itu sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak. Difahamkan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak perempuan itu adalah warga Thailand.

Menurut Safei, perkahwinan itu tidak salah dari segi syarak tetapi ia adalah salah di segi undang-undang Malaysia.

Beliau juga berkata, sehingga hari ini perkahwinan itu belum lagi didaftarkan di Majlis Agama Islam Narathiwat.

Sementara itu seorang ahli jawatankuasa majlis yang enggan dikenali berkata, tindakan dilakukan oleh imam terbabit dalam menikahkan budak perempuan berusia 11 tahun itu adalah sesuatu yang melampau.

“Mana-mana imam boleh melakukan pernikahan jika cukup syarat tetapi budak perempuan berusia 11 tahun tidak patut dinikahi kerana ia boleh merosakkan kepercayaan masyarakat dan kerajaan Malaysia terhadap Majlis Agama Islam Narathiwat,” katanya.