Notis kekosongan DUN Sungai Kandis diserah kepada SPR

Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata notis itu dihantar selepas menerima sijil kematian daripada keluarga Mat Shuhaimi Shafiei.

SHAH ALAM: Notis kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei, telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya hari ini.

Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim yang mengesahkan perkara itu berkata notis tersebut dihantar secara peribadi kepada SPR oleh pegawainya, kira-kira 1 tengah hari.

“Notis kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis dihantar kepada SPR selepas menerima sijil kematian daripada keluarga Allahyarham,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut Ng lagi, ada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka bagi DUN Sungai Kandis.

Sementara itu, jurucakap SPR Putrajaya ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi hari ini mengenai penerimaan notis kekosongan tersebut.

Mat Shuhaimi, 50, yang juga bekas setiausaha politik bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 11.10 pagi semalam akibat kanser limfoma.

Pada pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan 4 penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.