Pemerhati: 3 adun BN kunci selesai lantikan speaker DUN Kedah

Pemerhati politik dari UUM, Muhamad Mat Yakin berkata, jika 3 adun BN itu bertindak berkecuali, keadaan akan berpihak kepada kerajaan PH dalam isu pelantikan speaker DUN Kedah.

ALOR SETAR: Pemerhati politik yakin kebuntuan dalam pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas akan selesai esok, iaitu hari pertama persidangan DUN berlangsung.

Rakyat Kedah yang ditemui juga sesungguhnya mengharapkan isu itu selesai dan tidak mengheret kepada keadaan lebih rumit lagi, termasuk perlu mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

Pemerhati politik berpendapat, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan mendapat sokongan daripada 3 “kingmaker” di DUN, iaitu Adun Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang).

Dengan sokongan 3 adun Umno itu, kerajaan negeri akan memperoleh 21 undi berbanding PAS, 15 undi. PH mempunyai 18 kerusi, manakala PAS (15) dan BN (3).

Selain itu, mengikut sumber, bekas ahli Parlimen Kuala Kedah daripada PKR, Datuk Ahmad Kassim dijangka dicalonkan bagi jawatan itu, manakala Adun Ayer Hangat, Juhari Bulat sebagai timbalan speaker.

Namun, sokongan adun BN belum tentu dijelmakan Rabu ini, susulan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelumnya mengumumkan parti itu belum mempunyai pendirian rasmi berhubung isu itu dan terpulang kepada kebijaksanaan Umno Kedah di bawah Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Usaha PAS untuk memecahkan kebuntuan itu dengan mencadangkan calon speaker bukan daripada kalangan adun tidak dapat diterima Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas alasan jika calon itu diterima, maka bilangan pembangkang dalam dewan mungkin menjadi 19 orang, berbanding 18 di pihak kerajaan.

Seorang veteran Umno yang enggan namanya disiarkan memberitahu Bernama, mustahil adun BN boleh bersama PAS untuk memilih speaker yang disokong blok pembangkang di DUN itu.

“PAS dengan sombong membuat pelbagai kenyataan yang menghentam Umno selepas PRU baru-baru ini dan jelas dalam isu ini Umno bukan pak turut kepada PAS,” katanya.

Beliau turut menolak sama sekali PRN akan diadakan, berikutan kekusutan itu kerana selain membabitkan kos tinggi, semua pihak sebenarnya sudah terlalu letih dengan PRU untuk diadakan PRN.

Rakyat tentu marah jika PRN diadakan dan rakyat sendiri pun mahu pelantikan speaker diuruskan dengan baik tanpa berlaku keadaan yang merumitkan lagi situasi sedia ada.

Bagi Muhamad Mat Yakin, pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), “ketiga-tiga wakil BN adalah watak paling penting pada Rabu ini. Sekiranya mereka tidak memberikan sokongan kepada mana-mana parti sekalipun, jika mereka mendiamkan diri untuk berkecuali, keadaan akan berpihak kepada kerajaan PH nanti”.

Felo Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM itu berkata, walaupun jalan terakhir adalah mengadakan PRN, namun yakin keadaan itu tidak akan berlaku.

“Parti politik sudah tentu lebih matang dalam memikirkan perkara ini dan apakah mereka mahu mempertaruhkan masa depan sendiri di tangan pengundi daripada memikirkan bagaimana memajukan negeri.”

Sementara itu, kerani swasta, Puteri Zaleha Abdullah, 37, yakin akan kebijaksanaan kerajaan negeri menguruskan situasi itu dan berdoa keadaan tidak mengheret kepada PRN.

“Cukuplah berpolitik dan rakyat sememangnya letih selepas PRU dulu. Kini masa untuk membangunkan negeri dan biarlah kerajaan yang dipilih rakyat ini kembali berusaha membangunkan negeri daripada terbabit dalam keadaan yang tidak membantu apa-apa.”

Petani di Padang Terap, Yahya Ithnin, 63, mendoakan Allah memakmurkan negeri ini dan tidak mahu keadaan lebih rumit berlaku ke atas Kedah.

Katanya, walaupun beliau seorang penyokong PAS, namun tetap tidak bersetuju jika diadakan PRN kerana ia tidak menguntungkan sesiapa.