Penyokong Najib nyanyi ‘Allah selamatkan kamu’ depan SPRM

Penyokong Najib Razak menyalakan lilin di luar bangunan SPRM dalam perhimpunan solidariti itu.

PUTRAJAYA: Hampir 50 penyokong Datuk Seri Najib Razak berkumpul dalam himpunan solidariti untuk menyatakan sokongan terhadap bekas perdana menteri itu selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.

Himpunan solidariti itu yang dipimpin badan bukan kerajaan (NGO) Pemantau Malaysia Baharu, mula berkumpul jam 8.30 malam di luar bangunan SPRM dan dijangka kekal di situ sehingga jam 11.00 malam ini.

Himpunan yang diketuai Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Adam bersama penyokong lain menyanyikan lagu ‘Allah selamatkan kamu’, selain menyalakan lilin.

Adam sebelum itu dalam ucapannya berkata kehadirannya di himpunan solidariti itu untuk memberi sokongan kepada Najib.

Beliau juga mempersoalkan adakah perlu Najib ditangkap setelah memberi kerjasama kepada SPRM sebelum ini.

Katanya, beliau yakin Najib tidak akan disabitkan dengan kesalahan yang dikaitkan dengan RM2.6 bilion wang 1MDB yang dituduh Pakatan Harapan sebelum ini.

“Tetapi Najib akan didakwa dengan kesalahan kecil seperti RM46 juta duit SRC International.

“Kita nak jelaskan duit itu ada unsur khianat dan kita percaya bukan salah Najib,” katanya.

Semangat Umno tidak akan luntur

Adam berkata semangat Umno tidak akan luntur walaupun menjangkakan ramai lagi pemimpin Umno akan disiasat dan akaun Umno akan dibekukan.

Beliau percaya tindakan itu untuk melunturkan semangat Umno.

“Kita tidak akan mengalah dan akan menentang regim Tun Dr Mahathir Mohamad.”