PM masih cari calon sesuai timbalan menteri pertahanan, kata Mat Sabu

Mohamad Sabu berharap PM dapat menamakan timbalan menteri bagi melicinkan lagi perjalanan Kementerian Pertahanan.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih mencari calon yang sesuai bagi mengisi kekosongan jawatan timbalan menteri pertahanan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“(Saya) memang menunggu seorang timbalan dan perdana menteri sedang mencari calon yang sesuai untuk timbalan menteri pertahanan. Kita harap perdana menteri dapat menamakannya dan melicinkan lagi perjalanan Kementerian Pertahanan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkiple Kassim dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.

Ditanya adakah calon timbalan menteri pertahanan adalah dalam kalangan senator, Mohamad berkata terdapat kemungkinan jawatan itu akan diisi oleh senator.

“Kalau lewat (lantikan) mungkin (timbalan menteri) dalam kalangan senator,” katanya.

Semalam, 13 lagi menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.