Polis dalam proses bawa Jamal pulang

Fuzi Harun berkata, Jamal Yunos akan dibawa pulang ke Malaysia bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atasnya.

PETALING JAYA: Polis dalam proses membawa pulang Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos ke Malaysia selepas ditahan pihak berkuasa Indonesia, semalam.

“Pihak berkuasa Indonesia sudah menghubungi PDRM untuk memaklumkan tangkapan ke atas Datuk Seri Jamal Yunos di Indonesia.

“PDRM sedang berurusan dengan polis Indonesia untuk menyelaras proses membawa pulang Jamal ke Malaysia.

“Ia bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas beliau. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Jamal ditahan di Indonesia pada 6.15 petang semalam.

Jamal, 48, menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, ketika polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi ikat jamin, selepas beliau didakwa atas 3 pertuduhan di depan seorang majistret pada 25 Mei lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Satu waran tangkap dikeluarkan ke atas Jamal selepas itu, tetapi beliau menafikan melarikan diri dari pihak berkuasa atau berada di luar negara, sebaliknya ia cuma salah faham kerana menyangka proses ikat jamin sudah selesai pada hari itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/02/polis-indonesia-berjaya-tangkap-jamal/