‘Pulanglah, SPRM tidak akan ke Dubai ambil keterangan Jho Low’

Shukri Abdull meminta Jho Low pulang ke Malaysia. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengulangi pendirian perdana menteri yang menolak tawaran untuk penyiasat agensi anti-rasuah itu mengambil keterangan ahli perniagaan diburu Interpol, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung kes 1MDB di Dubai.

Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull meminta Jho Low pulang ke tanah air.

“SPRM tidak akan ke Dubai. Datanglah, pulanglah ke Malaysia, dia adalah rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di Gerak Budaya hari ini.

Bulan lalu juga, Jho Low dilaporkan sedia menjawab soalan penyiasat 1MDB di Dubai, tetapi sumber kerajaan dipetik sebagai berkata, sebelum pertemuan itu diadakan, peguamnya akan berbincang dengan pegawai SPRM di Dubai mengenai aspek siasatan yang boleh dibantu anak guam mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun dipetik Wall Street Journal menolak tawaran untuk penyiasat mengambil keterangan Jho Low di Dubai.

Awal bulan lalu, SPRM meminta Jho Low tampil membantu siasatan ke atas SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Jho Low dan 4 individu lain dikehendaki SPRM dalam siasatan ke atas AS$4.5 bilion yang didakwa disalurkan dari 1MDB antara 2009 dan 2015.

Media pada bulan lalu turut melaporkan Interpol mengeluarkan notis merah ke atas Jho Low pada Oktober 2016 berdasarkan permohonan Singapura kerana disyaki melakukan kesalahan di negara itu dan gagal dikesan di sana.

Pada 28 Jun lalu, SPRM menyerbu sebuah unit pangsapuri di Jalan Kia Peng yang dikatakan milik Jho Low.