Putrajaya kaji semula cukai pelancongan

Mohamaddin Ketapi mengetik kad perakam waktu pertamanya sebagai menteri pelancongan, seni dan budaya hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji semula keperluan pelaksanaan cukai pelancongan dalam memastikan ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Katanya, cukai yang dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik satu malam itu perlu dikaji untuk mengetahui pendapat dan pandangan semua pihak terlibat, terutamanya pelancong sama ada kadar itu terlalu tinggi atau munasabah.

“Ya (akan kaji semula) kerana kita nak tarik pelancong, kita perlu cari satu kaedah buat pelancong supaya mereka boleh terima dan memudahkan mereka ke Malaysia.

“Kalau kita letak cukai terlalu tinggi, orang tidak akan mahu masuk ke negara, tetapi sekiranya kita mengenakan cukai sederhana atau berpatutan, lebih ramai pelancong akan datang,” katanya dalam sidang media pertamanya sebagai menteri hari ini.

Cukai pelancongan yang berkuat kuasa pada 1 September 2017 itu mengenakan kadar rata RM10 satu malam ke atas pelancong asing yang tinggal di hotel atau tempat penginapan berdaftar.

Pelaksanaan cukai itu mendapat kritikan pelbagai pihak, terutamanya pemain industri pelancongan dan baru-baru ini dilaporkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menyarankan kerajaan memansuhkan cukai itu yang dilihat menghalang kemajuan industri pelancongan.

Sementara itu, Mohamaddin yang juga ahli Parlimen Silam berkata, kementeriannya bakal menganjurkan satu pertandingan mencipta logo baru untuk kempen Tahun Melawat Malaysia.

Beliau akan mendapatkan pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada ingin mengekalkan Tahun Melawat Malaysia pada 2020 atau memilih tahun lain.

“Logo itu untuk 2020, tetapi kalau kita tukar Tahun Melawat Malaysia, kita juga perlu tukar logo. Logo sedia ada cantik, tetapi kita mungkin boleh dapat lagi cantik (melalui pertandingan).

“Kita akan buat pertandingan terbuka yang mana kementerian akan menerima rekaan logo ini, dan kita juga akan ada satu jawatankuasa yang bakal memilih logo yang terbaik.”

Terdahulu, Mohamaddin tiba di bangunan kementerian itu pada 8.04 pagi, sebelum memulakan jadual hari pertama beliau dengan menghadiri taklimat bersama anggota pengurusan kementerian dan agensi terlibat.

Mohamaddin antara 13 menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di depan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, semalam.