Putrajaya perkenal SOP ketat perkahwinan bawah umur

Rodziah Ismail. (Gambar Youtube)

GEORGE TOWN: Putrajaya bakal memperkenalkan tatacara operasi standard lebih ketat kepada mahkamah syariah untuk perkahwinan bawah usia 18 tahun minggu depan.

Setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Rodziah Ismail berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited menaikkan had umur wanita berkahwin kepada 18 tahun daripada 16 tahun sekarang ini.

“Jika ada sebarang kemungkinan untuk meluluskan perkahwinan bawah 18 tahun, ia mesti tertakluk kepada garis panduan yang ketat dan SOP itu mesti diikuti oleh mahkamah syariah,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat menemui Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita Pulau Pinang, Chong Eng hari ini.

Rodziah berkata melalui SOP baru ini, perkahwinan bawah umur perlu mendapatkan keizinan mahkamah syariah dan menteri besar atau ketua menteri.

“Sekarang, kita bukan hanya bercakap mengenai keizinan, tetapi meletakkan SOP pada tempatnya, dengan lelaki dan wanita perlu melalui pemeriksaan seperti kesihatan, pendidikan, kesejahteraan, bagi memastikan keluarga dapat menjalani kehidupan yang normal.

“SOP akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan dan kami harap akan disahkan dalam tempoh 2 minggu,” katanya.

Beluau berkata kelulusan di pihak jemaah menteri akan diikuti penubuhan pasukan petugas khas bagi memastikan semua negeri mematuhi SOP baru itu.

“Kita perlu SOP itu berdasarkan terdapat lebih 1,000 permohonan perkahwinan bawah umur di negara ini sepanjang 5 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun, Masaryu Mat Rashid, dan Che Abdul Karim Che Abdul Hamid, 41.

Ditanya mengenai tindakan susulan di Kelantan, Rodziah berkata tiada bukti perkahwinan itu berlaku.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand dan menggesa pasangan berkenaan memberikan maklumat dan dokumen untuk membuktikan perkahwinan mereka.

“Perkahwinan dalam Islam adalah mudah. Langkah pertama ialah ada kadi yang menjalankan akad nikah, Kemudian ada 2 saksi. Semalam, mereka tidak dapat mengemukakan bukti sama ada saksi wujud atau tidak.

“Bagi kerajaan, perkahwinan itu tidak wujud. Oleh itu dalam kes ini, jika dokumen yang diperlukan tidak dapat dikemukakan dalam tempoh tertentu, kerajaan bertanggungjawab untuk menangani masalah ini, untuk menjaga dan melindungi kanak-kanak.

“Tanpa mengira sama dia warga negara ini atau tidak, menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu keutamaan kita,” katanya.

Rodziah berkata kerajaan juga akan melihat keadaan keluarganya, kampung didiaminya serta jika wujud isu kemiskinan.