Putrajaya tetapkan syarat sebelum beri lampu hijau kepada ECRL

PETALING JAYA: Kerajaan hanya akan membuat keputusan sama ada meneruskan Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dimulakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas harga keseluruhan projek itu dirunding semula dengan kontraktor China.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kos laluan 690km dari Selangor ke Kelantan itu melambung hingga RM80 bilion dan projek itu akan berdaya maju dari segi kewangan dan ekonomi jika kontraktor, China Communications Construction Company (CCCC) bersetuju mengurangkan harga projek secara signifikan.

“Perbincangan kos akan diadakan dengan pihak kontraktor dan pihak lain yang terlibat dalam projek tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Projek ECRL dikritik hebat ketika kempen pilihan raya berikutan saiz pembabitan China dalam projek infrastruktur di negara ini.

Berikutan kejayaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi keutamaan kepada usaha mengurangkan hutang negara dan berikrar untuk mengkaji semula projek besar yang diluluskan dalam kerajaan sebelum ini.

Sebahagian besar kos projek ECRL yang sedang dilaksanakan oleh CCCC, dibiayai melalui pinjaman oleh China Exim Bank.

Setakat ini, Lim berkata kerajaan membayar RM19.68 bilion kepada CCCC melalui syarikat milik penuhnya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Jumlah itu termasuk bayaran pendahuluan kira-kira RM10.02 bilion dan bayaran kemajuan, RM9.67 bilion.

Bagaimanapun, bayaran pendahuluan RM10.02 bilion, disokong oleh bon bayaran pendahuluan yang menyamai jumlah itu. Bon ini boleh ditebus semula oleh MRL untuk mendapatkan semula jumlah itu.

“Dalam erti kata lain, sekiranya berlaku senario terburuk maka kerajaan persekutuan boleh mendapatkan semula RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang dibayar,” katanya.

Beliau turut menyatakan kerajaan Selangor membantah projek itu, terutama bagi laluan antara Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak hingga Port Klang.

“Bantahan kerajaan Selangor ini berdasarkan prinsip permohonan mereka untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia Unesco bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16km, yang merupakan permatang kuartza yang terpanjang di dunia.”

Katanya, menyiapkan laluan antara Gombak dan Port Klang akan menggagalkan usaha Selangor, menyebabkan kerajaan persekutuan akan berunding dengan kerajaan negeri selepas harga ECRL dapat dikurangkan.