Saya tak bawa lari wang sumbangan, kata pengetua tahfiz

Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood.

PETALING JAYA: Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah meminta waris mangsa kebakaran supaya bertenang kerana wang sumbangan orang ramai dijangka akan diagihkan bulan ini.

Mohd Zahid Mahmood berkata mereka tidak perlu takut kerana dia tidak membawa lari wang sumbangan itu.

“Saya harap waris bersabar sekejap sebab kita dalam proses terakhir. Saya nak bawa mana duit itu lagipun sudah diaudit,” katanya.

Zahid berkata juruaudit memaklumkan laporan audit sudah siap sebelum Aidilftiri lepas dan ia akan diserahkan pada Khamis ini.

Atas sebab itu dia sebelum ini mendiamkan diri dan tidak menjawab soalan pemberita kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Zahid belum mahu mendedahkan jumlah wang sumbangan yang sudah diaudit itu.

Seramai 21 pelajar dan 2 kakitangan maut apabila terperangkap dalam bangunan tahfiz yang terbakar pada 5.15 pagi, 14 September tahun lepas, di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.