Selepas Zahid, giliran Shahrir Samad dipanggil SPRM

Shahrir Samad tiba di Ibu Pejabat SPRM sekitar 9.30 pagi ini.

PUTRAJAYA: Bekas ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad menjadi pemimpin kanan Umno ke-2 yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini berhubung dakwaan dikaitkan dengan dana 1MDB.

Ia sehari selepas bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disoal siasat kira-kira 8 jam berhubung pertemuannya dengan seorang kerabat diraja Arab Saudi pada 2015.

Shahrir yang dilantik sebagai pengerusi Felda pada 6 Januari 2017, melepaskan jawatan itu pada 14 Mei lalu susulan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.

Sejurus selepas ketibaan Shahrir di Ibu Pejabat SPRM sekitar 9.30 pagi tadi, Zahid dilihat memasuki bangunan SPRM, di mana beliau dijadualkan memberi penjelasan kepada penyiasat berhubung dana sebuah yayasan milik keluarganya.

SPRM sedang menyiasat presiden Umno yang baru itu membabitkan 2 kes berasingan.

Zahid sebelum ini berkata, yayasan keluarga yang dipengerusikannya, dikendalikan berdasarkan undang-undang syariah dan dana itu hasil sumbangan beliau bersama rakannya.

Rekod menunjukkan yayasan itu ditubuhkan pada 1977 dengan matlamat menerima serta menguruskan dana bagi membasmi kemiskinan.

Zahid dijangka memberi lebih banyak butiran mengenai yayasan itu hari ini.