SPRM: Pulangkan wang 1MDB atau berdepan tindakan
Shukri Abdull berkata, SPRM mempunyai bukti lengkap wang dalam akaun dibekukan itu datang dari dana 1MDB.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi (SPRM) memberi amaran kepada pemegang akaun dibekukan yang disyaki mempunyai kaitan dengan siasatan 1MDB untuk memulangkan wang secara sukarela atau berdepan tindakan undang-undang.
“Akaun yang kita bekukan adalah semua akaun yang kita syaki terima dana dari 1MDB, tidak kiralah akaun siapa, semua akan dibekukan termasuk pihak individu, persatuan, syarikat atau badan politik. Kalau mereka ini ada masalah datang jumpa SPRM.
“Matlamat Pasukan Petugas Khas 1MDB adalah untuk dapatkan semula wang dari 1MDB, ini adalah duit rakyat dan walaupun jumlahnya 1 sen, pasukan petugas khas berjanji akan pulangkan.
“Kita mempunyai bukti lengkap wang yang masuk adalah dari wang 1MDB,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam sidang media di Gerak Budaya hari ini.
Semalam, Pasukan Petugas Khas 1MDB mendedahkan 408 akaun bank milik 81 individu dan 55 syarikat yang membabitkan dana sebanyak RM1.1 bilion dibekukan pada 26 dan 29 Jun lalu.
Pasukan itu berkata, ia membabitkan hampir 900 transaksi antara Mac 2011 hingga September 2015.
Shukri mempertahankan tindakan membekukan akaun itu tanpa memberi notis kepada pemilik akaun kerana ia akan menjejaskan siasatan SPRM.
“Tidak perlu beri notis, tugas Pasukan Petugas Khas 1MDBi (ialah) bila kita dapati duit itu dari 1MDB, kita akan bekukan. Kalau kita beri notis, duit itu akan dibawa lari, jadi di manakah elemen kejutan dalam siasatan kita.”
Shukri tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun akan dibekukan kerana siasatan ke atas 1MDB masih dijalankan.
“Itu yang setakat kita kesan pada hari ini, mungkin esok atau lusa akan meningkat, mungkin ada lagi akaun yang akan kita bekukan.”
Jumaat lalu, Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi, termasuk Umno serta parti politik lain dibekukan dipercayai terbabit dengan penyelewengan dana 1MDB.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pasukan Petugas Khas 1MDB dianggotai bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed bersama Shukri dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.