SPRM tahan Najib di rumahnya

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak di kediaman peribadinya di Taman Duta, ibu negara.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan mengesahkan Najib ditahan pada 2.35 petang berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Menurutnya, Najib akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 8.30 pagi esok.

Difahamkan, Najib mungkin didakwa atas pertuduhan dikaitkan dengan pengubahan wang.

Sejak Barisan Nasional pimpinan Najib mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, beliau dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor disiasat SPRM.

Najib dipanggil SPRM sebanyak 2 kali pada 22 dan 24 Mei lalu, manakala Rosmah disoal siasat agensi anti-rasuah itu pada 5 Jun lalu berhubung siasatan ke atas SRC International serta RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank Najib pada 2012.

Enam premis dikaitkan dengan keluarga Najib di Putrajaya dan Kuala Lumpur turut diserbu polis pada 16 serta 17 Mei lalu, dengan 12,000 jenis barang kemas, 567 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM116.7 juta dirampas.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata, rampasan terbesar dalam sejarah Malaysia itu berjumlah RM900 hingga RM1.1 bilion.

Najib bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan berkata, barang yang dirampas itu adalah hadiah kepada keluarganya ketika beliau menjadi perdana menteri.