SPRM siasat Shahrir 7 jam berhubung dana parti

Shahrir Samad mendakwa akaunnya dan Umno Johor Bahru telah dibekukan.

PUTRAJAYA: Bekas ahli parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad meninggalkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disoal siasat selama 7 jam berhubung dana yang diterima daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada pemberita di luar pejabat SPRM, katanya, beliau dipanggil untuk memberi kenyataan berhubung cek bernilai RM1 juta yang diberikan Najib pada November 2013.

“Saya menjadi orang terakhir yang mengetahui dari mana asal wang itu.

“Sebagai ketua Umno Johor Bahru, saya meminta dana daripada beliau untuk menjalankan aktiviti di peringkat bahagian,” katanya menjawab soalan sama ada beliau mengetahui sumber wang tersebut.

Ketika ditanya sama ada beliau akan memulangkan wang itu, sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull, Shahrir berkata wang itu dibelanjakan sepenuhnya untuk aktiviti politik di Johor.

“Kedua-dua akaun saya dan Umno Johor Bahru telah dibekukan.

“Bagi saya, wang itu adalah sebahagian daripada dana politik dan bukan wang haram,” katanya.

Pada 2015, Shahrir mengakui menerima dana daripada Najib.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa Shahrir menerima RM1 juta selepas pilihan raya umum 2013, manakala Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahman Maslan didakwa menerima cek bernilai RM2 juta.

Selepas Zahid, giliran Shahrir Samad dipanggil SPRM