Suhakam terkejut Imigresen beri layanan buruk kepada pelarian Sri Lanka

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph (dua dari kiri) mahukan penjelasan daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung layanan buruk terhadap pelarian Sri Lanka.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini terkejut selepas mendapat laporan sebahagian daripada 131 pelarian Sri Lanka yang ditahan di Johor pada Mei lalu diberi layanan buruk oleh Jabatan Imigresen Malaysia di depoh mereka dan penjara.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata, antara layanan buruk adalah tidak diberikan ubat semasa sakit, tidak dibenarkan mandi selama 2 hari dan ibu mengandung tidak diberi makanan lebih.

“Macam ini tak masuk akal bagi kita, kalau mengandung itu anda kena bagi makanan lebih kepada mereka.

“Selain itu ada di kalangan mereka yang tidak diberikan ubat dan terpaksa bertukar-tukar ubat dengan orang lain.

“Memang ada peruntukan untuk ubat dan pegawai imigresen bukan doktor. Kalau orang cakap sakit, anda perlu bawa orang itu berjumpa doktor,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Suhakam hari ini.

Jerald sebelum itu menerima memorandum daripada sebahagian 131 pelarian Sri Lanka berkenaan dan turut diberikan taklimat mengenai situasi semasa mereka.

Turut bersama dengan sebahagian daripada 131 orang itu ialah Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Mengulas lanjut, Jerald menegaskan, mana-mana pihak yang ditahan atau ditangkap pihak berkuasa tidak sepatutnya dilayan dengan cara yang tidak baik.

“Pegawai Imigresen perlu menghentikan pemikiran mereka mempunyai kuasa penuh, mereka perlu hormati orang lain.

“Kita juga tak mahu bila kita pergi ke Sri Lanka, mereka beri layanan teruk kepada kita,” katanya.

Jerald turut mahukan penjelasan daripada Jabatan Imigresen Malaysia mengapa mereka diberi layanan yang teruk seperti itu.

“Tak memadai dan tak mengikut hak asasi,” katanya.