Syed Saddiq tak mahu budaya balas dendam, cari silap kerajaan lepas

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jika ada salah laku dalam pentadbiran lama, ia akan disiasat sebelum mengambil sebarang tindakan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pihaknya tidak mahu membawa budaya “witch hunt” iaitu mencari kesilapan pentadbiran terdahulu.

Bagaimanapun, menteri termuda berusia 25 tahun itu berkata, jika terdapat salah laku dalam pentadbiran berkenaan, pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Katanya, daripada mencari kesilapan lepas, beliau mahu memberi fokus kepada apa yang boleh ditawarkan demi kepentingan rakyat.

“Saya tidak mahu diwarnakan atau dicorakkan sebagai budaya balas dendam, di mana untuk menyerlahkan diri saya, saya menjatuhkan atau memburukkan imej kerajaan lepas dengan kesilapan sedia ada.

“Tetapi, saya mahu fokus kepada apa yang kita boleh tawarkan kepada rakyat dan pastikan jika ada kesilapan yang lepas, ia tidak diulangi. Sebab fokus anak muda kini, kalau kita hanya bentangkan kesilapan lepas, mereka akan tanya ‘what we can afford’ (apa yang kita mampu lakukan)?

“Contohnya bagaimana kita boleh kurangkan harga rumah, bagaimana selesaikan isu kos sara hidup, pastikan peluang pekerjaan dicipta secukupnya, isu kolej vokasional dan sebagainya. Jadi fokus yang sama rata kepada bahagian belia dan sukan,” katanya selepas melapor diri di kementeriannya hari ini.

Ketua Pemuda PPBM itu turut menegaskan pihaknya akan meneruskan semua program dan dasar di bawah menteri terdahulu, sekiranya ia membawa kebaikan kepada rakyat dan industri sukan negara seperti Fit Malaysia, Hari Sukan Negara (HSN) dan Perdana Fellowship.

Mengenai Program Podium, ahli Parlimen Muar itu berkata, perbincangan mendalam akan diadakan dengan pakar sukan dan atlet dalam menentukan masa depan program atlet elit itu.

Beliau turut memberi jaminan tidak ada mana-mana sukan yang akan dipinggirkan, sebaliknya bekerjasama dengan persatuan sukan terbabit untuk mencari jalan membangunkan semua sukan.

“Contohnya, apabila saya menekankan E-Games, bukan kerana ia sahaja sukan penting, tapi saya rasa E-Games sering dipinggirkan pada zaman teknologi sedia ada, apabila kita dapat bangunkan infrastruktur berkaitan, kita turut dapat bangunkan infrastruktur berkaitan pembangunan perisian, kejuruteraan perisian yang banyak beri peluang pekerjaan kepada pemain.”

Mengenai Sukan Asia Indonesia yang dijadualkan bermula 18 Ogos hingga 2 September ini, beliau terlebih dahulu mahu meneliti Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kontinjen negara, sebelum membincangkan perkara itu.