Tangkap Najib: Badan peguam persoal kesahan pasukan petugas khas

George Varughese tertanya apakah pasukan itu diberi kuasa untuk mengarahkan tangkapan dan mendakwa Najib. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Badan Peguam mengkritik pasukan petugas khas 1MDB atas kenyataan mengumumkan penangkapan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan dia akan didakwa di mahkamah esok.

Presiden George Varughese berkata pasukan itu tidak mempunyai kedudukan hukum dalam perkara seperti itu.

“Badan Peguam terkejut dan risau membaca kenyataan media yang dikeluarkan oleh pasukan petugas 1MDB hari ini yang mengumumkan Najib Razak ditangkap pada 2.35 petang berhubung siasatan SRC International Sdn Bhd dan bekas perdana menteri itu akan didakwa pada 4 Julai 2018 pada 8.30 pagi di Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

SRC ialah bekas anak syarikat 1MDB yang kini diletakkan bawah Kementerian Kewangan.

Varughese berkata tangkapan hanya boleh dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.

Beliau berkata pasukan itu tidak boleh menentukan sama ada Najib akan didakwa atau bila akan didakwa.

“Oleh itu, perlu ditanya apakah pasukan petugas ini diberi kuasa oleh undang-undang untuk mengarahkan tangkapan dan mendakwa Najib,” katanya.

Kenyataan pasukan petugas itu ditandatangani oleh 4 anggota. Mereka adalah bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas timbalan pengarah Datuk Abdul Hamid Bador.

Najib ditahan oleh SPRM di kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Sementara itu, peguam SN Nair berkata hanya Peguam Negara Tommy Thomas, yang diapor mengetuai pendakwaan terhadap Najib, berhak mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Thomas tidak boleh dilihat melepaskan kuasa dan wibawa kerana hanya pendakwaraya awam boleh merangka pertuduhan terhadap seorang tertuduh,” katanya.

Nair berkata orang lain menjalankan tugas-tugas peguam negara adalah menyalahi undang-undang.

Fungsi dan peranan pasukan petugas dalam siasatan dan pendakwaan dalam skandal 1MDB dipersoalkan para peguam mutakhir ini.