Akaun dibeku, bagaimana Umno nak bantu Najib, kata Mahdzir

Mahdzir Khalid berkata, Umno akan mengikut prosedur ditetapkan Jawatankuasa Khas 1MDB untuk membatalkan pembekuan akaun parti itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata parti itu akan mengkaji bantuan yang boleh diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak kerana akaun parti masih dibekukan Pasukan Petugas Khas 1MDB.

“Saya tak boleh jawab lagi…kena lihat dahulu. Dia bekas presiden, perdana menteri begitu lama berkhidmat.

“Kita dari segi parti macam mana kita nak bantu, (akaun) kita pun kena beku,” katanya di lobi Kompleks Mahkamah KL di Jalan Duta hari ini.

Beliau mengulas jika Umno akan menghulurkan bantuan kepada bekas presidennya yang mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak hari ini menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk 4 pertuduhan bersama 2 penjamin dan 2 pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Hakim turut mencadangkan 19 hari perbicaraan kes itu pada tahun depan, dari 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac.

Mengenai pembekuan akaun bank Umno, Mahdzir berkata, Umno mengikut prosedur yang ditetapkan Jawatankuasa Khas 1MDB.

“Kita kena pergi sidang (Jawatankuasa 1MDB) dan tengok apa benda yang sepatutnya dibuat parti.

“Kita nak tahu apa yang ada dalam itu dan penyelesaiannya.”

Beliau turut menggesa rakyat tidak menghukum Najib dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan Najib bersalah atau sebaliknya.

“Kita serah kepada mahkamah, yang penting sekali ‘rule of law’ dapat ditegakkan dalam sebuah sistem perundangan negara kita.”