Calon speaker PKR tarik diri: Exco Perak mohon maaf

Ahli Exco Perak Mohammad Nizar Jamaluddin menyokong penarikan diri Siti Aisyah Shaik Ismail demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Perak. (Gambar Bernama)

IPOH: Exco Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memohon maaf kepada Ketua Penerangan PKR Perak Senator Siti Aishah Shaik Ismail berhubung isu Siti Aishah menarik diri sebagai speaker DUN.

Exco pelaburan dan pembangunan koridor mendoakan agar Siti Aishah dapat meneruskan perjuangannya dalam memastikan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan baik.

“Kita boleh baca kenyataan beliau (Siti Aishah) dalam akhbar pagi ini. Kenyataan itu adalah pendirian peribadi beliau.

“Saya sokong pandangan beliau untuk tarik demi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Perak. Saya amat menghargai pendirian beliau dan memohon maaf sekiranya ada perkara yang tidak elok,” katanya.

Nizar yang juga bekas menteri besar Perak berkata demikian selepas merasmikan “Seminar Inisiatif Hijau” anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) hari ini.

Menerusi kenyataan media semalam, Siti Aishah memaklumkan, keputusan awal untuk menerima pencalonan tersebut dibuat atas kefahaman PKR yang harus diberikan jawatan itu memandangkan DAP mempunyai 5 jawatan exco bagi kerajaan negeri.

Katanya, perundingan bagi menentukan calon speaker berlarutan sehingga Isnin di mana beliau akhirnya membuat keputusan menarik diri.

Selain Siti Aishah yang dicalonkan oleh PKR, DAP pula pula mencalonkan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham yang akhirnya dilantik sebagai speaker DUN.

Seminar sehari itu dihadiri 200 peserta terdiri daripada ahli persatuan-persatuan elektrik dan pendawaian di Perak.

Calon speaker PKR tarik diri, dakwa ditekan DAP