Ini mahkamah, bukan karaoke, polis tegur penyokong Najib

Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa meminta penyokong Najib supaya tidak bising di dalam kawasan mahkamah.

PETALING JAYA: Polis hari ini melarang sekumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak bersorak dan menyanyi di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ketika pendakwaan dilakukan ke atas bekas perdana menteri itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa meminta penyokong Najib yang diketuai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tun Faisal Ismail Aziz menghormati kawasan mahkamah.

“Boleh bercakap, bukan bernyanyi. Ini bukannya karaoke, ini mahkamah,” kata Rafiq.

Ia disusuli bantahan Faisal yang mendesak polis menyatakan peruntukan undang-undang tidak membenarkan mereka bercakap atau menyanyi.

“Kalau bawa ganja, dekat sini juga boleh tangkap. Ini bukan dalam mahkamah, ini di luar mahkamah.

“Dekat mana yang kata dalam kawasan mahkamah tidak dibenarkan bercakap atau menyanyi? Jika di dalam mahkamah saya tahu.”

Terdahulu, kira-kira 20 penyokong bersorak “bebas Najib” dan menyanyi “Allah selamatkan Najib, Allah selamatkan kamu” sebagai tanda solidariti kepada ahli Parlimen Pekan itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy turut meminta penyokong Najib menghormati mahkamah kerana ada kes lain yang sedang dibicarakan dalam mahkamah.

“Kalau tuan-tuan hendak menyanyi atau buat apa-apa, sila pergi ke luar, di sana anda boleh buat apa-apa.”

Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan penyalahgunaan jawatan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta antara Disember 2014 dan Mac 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta untuk semua pertuduhan dengan 2 penjamin dan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.